Bahaya Ketagih Internet

bahaya internet

KUALA TERENGGANU – Perkembangan teknologi yang sangat pesat menyebabkan masyarakat kini terlalu obses dengan pelbagai gajet canggih seperti telefon pintar dan tablet yang mengandungi pelbagai aplikasi moden termasuk permainan video.

Bukan sahaja kanak-kanak, remaja, atau pelajar, tetapi menjadi pilihan golongan berumur hingga memberi impak negatif terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Ketua Jabatan dan Psikiatri, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Nur  Zahirah (HSNZ), Dr Tuan Sharipah Tuan Hadi berkata, obsesi melampau melayari internet dan bermain permainan komputer boleh menjejaskan tumpuan, malah mampu mengurangkan aspek kepantasan reaksi atau rasa empati.

Menurutnya, ada baik dan buruknya apabila menggunakan kemudahan teknologi sama ada dalam kehidupan, pekerjaan dan pelajaran.

“Namun, ia menimbulkan masalah apabila digunakan berlebihan sehingga tidak tidur malam, tidak menumpukan kepada pekerjaan dan perkara lain sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam, isteri, suami, anak dan kepada majikan.

“Malah ia boleh diibaratkan seperti orang ketagihan dadah, jika tidak mengambilnya akan menjadi tidak keruan dan semakin lama, keinginan menjadi semakin bertambah,” katanya.

Ibarat rakan baik

Kata Dr Tuan Sharipah, ketagih bermain permainan komputer dan internet sama seperti ketagihan dadah dan arak, apabila keinginan mereka menjadi semakin tinggi untuk ‘meneroka’ alam maya itu.

Ini kerana katanya, dengan melayari internet mampu melayan segala macam keperluan yang diidamkan individu terbabit, daripada keperluan seksual, mental, emosi dan intelek sehinggalah spiritual.

“Mereka umpama sahabat dan rakan. Malah ada individu menganggap komputer dan internet sebahagian daripada diri dan kehidupan mereka. Mereka akan dirundung rindu resah dan gundah gulana sekiranya tidak berpeluang ‘melayan sahabat’ ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin ada sebahagian pengguna yang menggunakannya untuk mengurangkan tekanan di tempat kerja, masalah pelajaran dan pada masa sama bagi mengikuti perkembangan teknologi terkini.

Pengguna jadi kurang sensitif

Namun, di sebalik perkembangan teknologi maklumat itu, impak paling ketara adalah komunikasi dalam kalangan masyarakat semakin pudar kerana taasub dengan teknologi, sehingga sesetengah kelompok individu menghidapi sejenis penyakit atau kecelaruan dikenali sebagai ketagihan.

“Individu terbabit juga menjadi tidak peka atau sensitif dengan perasaan orang lain disebabkan fungsi otak mereka yang diubah kerana terlalu asyik dengan komputer atau gajet walaupun berada di khalayak ramai, tetapi mereka bersendirian dengan dunianya.

“Akhirnya, jarak perhubungan semakin jauh kerana kurangnya komunikasi keluarga berbanding berkomunikasi dengan gajet. Seseorang yang ketagih didapati gagal memberi tumpuan yang baik terhadap kehidupannya seperti biasa.  Bagi mereka yang ada ketagihan itu, peranan dan perhubungannya dengan individu lain dalam lingkungan hidupnya akan terjejas,” katanya.

Hadkan penggunaan internet

Beliau berkata, bagi mengelakkan perkara itu berlaku, pengguna perlu menetapkan objektif dan matlamat sebelum melayari laman web atau menggunakan komputer dengan mengenal pasti tujuan penggunaan.

“Layari laman web tertentu dan yang perlu sahaja, atau sekadar memenuhi keperluan yang dikehendaki agar tidak melebihi had dan bagi mengelakkan melayari laman yang tidak perlu.

“Hadkan atau tetapkan jangka masa diperlukan ketika melayari laman siber bagi mengelakkan pembaziran masa. Bahagikan masa yang sewajarnya antara kehidupan di dunia siber dan kehidupan di alam nyata supaya seimbang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya menjadikan ruang siber dan internet sebagai sumber pengetahuan untuk meningkatkan peranan menjadi insan yang sempurna dan untuk menambah kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan.

“Kurangkan beriadah secara ‘maya’, lebihkan interaksi secara realiti serta mengamalkan gaya hidup sihat kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

“Untuk mengelakkan senario ini menjadi semakin membimbangkan, babitkanlah diri dalam perkara yang boleh memberi manfaat seperti dalam kokurikulum selain aktiviti luaran yang mendekatkan mereka dengan masyarakat,” katanya.

 

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s