Sebuah Bank, Lima Sekolah Ditutup Elak Wabak H1N1

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) — Sebuah bank di sini dan lima sekolah, dua di Pulau Pinang, dua di Kelantan dan sebuah di Perak diarahkan tutup Khamis sebagai langkah membendung penularan wabak Influenza A(H1N1).

Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Taman Len Seng ditutup selama dua hari ekoran seorang daripada kakitangannya disahkan positif H1N1.

Dalam kenyataan hari ini, BSN berkata kesemua pekerja cawangan itu diarah membuat pemeriksaan kesihatan sementara proses pembersihan cawangan tersebut akan dibuat mengikut prosedur yang telah ditetapkan pihak berwajib.

Pelanggan BSN diminta mengunjungi cawangan yang berhampiran seperti di Taman Midah, Taman Segar dan Taman Suntex atau mana-mana rangkaian cawangan BSN dan Mesin ATM serta Deposit Tunai BSN berdekatan untuk melakukan sebarang transaksi perbankan.

Di Pulau Pinang, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Prihatin dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata dua sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Butterworth dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Kepar, Kepala Batas diarah tutup selama seminggu mulai hari ini.

Beliau berkata setakat ini 41 institusi diarah memberhentikan operasinya akibat pandemik itu.

Katanya oleh kerana 60 peratus kes adalah jangkitan tempatan, semua kes yang ada simptom H1N1 akan diberi perhatian bagi memastikan pesakit tidak bertambah teruk.

Di Perak, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu diarah tutup selama seminggu berkuatkuasa hari ini ekoran 24 pelajarnya dikesan menghidapi simptom wabak H1N1.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kerja-kerja pembersihan akan dilakukan bagi memastikan sekolah itu benar-benar sihat.

Dalam pada itu, beliau berkata wabak Influenza A(H1N1) di negeri itu terus meningkat dengan pertambahan 10 kes baru menjadikan jumlah keseluruhan 90 kes sehingga pukul 8 pagi ini.

Di Kelantan, dua sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Naim Lilbanat di Kota Baharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, diarah tutup hari ini selama seminggu ekoran penularan wabak H1N1 yang menjadikan ia kes pertama membabitkan penutupan sekolah di negeri ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd Ghazali Ab Rahman berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara ini oleh Jabatan Kesihatan Kelantan hari ini yang telah mengadakan perbincangan dengan pentadbiran sekolah untuk melaksanakan arahan menutup sekolah berkenaan.

Beliau yang melawat Sekolah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat berkata seorang pelajar perempuan sekolah itu disahkan dijangkiti H1N1 manakala seorang lagi dari SMK Bachok yang disyaki turut dijangkiti virus itu masih belum dapat disahkan, katanya kepada Bernama.

Katanya beliau meminta pelajar dan ibu bapa agar tidak panik berhubung penutupan sekolah terbabit sebaliknya meminta supaya mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya bagi mengelakkan turut dijangkiti wabak itu.

Apa yang penting ibu bapa perlu memantau perkembangan kesihatan anak-anaknya dan jangan panik sehingga tidak tahu untuk menghadapi situasi kecemasan dengan sewajarnya.

Sementara itu, seorang atlet bola sepak dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) masih dikuarantin kerana disyaki dijangkiti H1N1 manakala lima yang lain disahkan sihat selepas disyaki mengalami simptom influenza itu.

Pengetua SSBJ Marina Chin berkata pelajar itu dikuarantin akibat wabak tersebut sementara lima lagi disahkan sihat selepas diasingkan di asrama khas sejak seminggu lepas.

Katanya, lima pelajar yang disahkan sihat terdiri daripada empat atlet bola sepak dan seorang atlet olahraga yang berkemungkinan mendapat simptom wabak H1N1 ketika menjalani latihan bersama atlet senior atau melalui kegiatan luar dari sekolah.

Jurulatih skuad bola sepak Zulakbal Abd Karim ketika ditemui berkata atlet dari SSBJ itu masih demam serta batuk dan belum mengikuti latihan bersama rakan sepasukan lain.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata setakat ini kerajaan belum mengeluarkan arahan menghalang pergerakan pelajar atau atlet daripada menyertai Kejohanan Sekolah-sekolah Asia ke-4 di Kota Kinabalu, Sabah dari 10 hingga 20 Ogos.

“Kita mengambil langkah pencegahan yang serius bagi memastikan kejohanan di Kota Kinabalu tidak tercemar oleh wabak selesema babi. Peserta dari lapan negara yang menyertai kejohanan itu akan dipantau taraf kesihatan sebaik tiba di lapangan terbang negara ini,” katanya.

Lapan negara yang menyertai kejohanan itu adalah China, Vietnam, Sri Lanka, Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia dan Macau.

Dalam pada itu, Alimuddin berkata Kementerian Pelajaran membelanjakan RM2.6 juta untuk membekalkan topeng muka dan penyukat suhu (termometer) di semua sekolah kendaliannya sebagai usaha menghalang penularan wabak H1N1.

Katanya, semua pengetua sekolah diarah melakukan pemeriksaan terhadap semua pelajar semasa perhimpunan harian dan pelajar yang suhu badannya melepasi 37 darjah celsius akan diarah pulang.

“Sehingga bulan lepas, 97 sekolah telah diarah tutup akibat penularan selesema babi dan langkah pencegahan yang paling ketat kini dilaksanakan bagi membendung penularan wabak tersebut di sekolah-sekolah,” katanya.

Mengenai lima peperiksaan penting yang dijangka terjejas jika wabak ini terus merebak, Alimuddin berkata Kementerian Pelajaran mempunyai langkah kontingensi tersendiri untuk menangani masalah berkenaan.

Katanya, jika bilangan pelajar terlibat tidak ramai, mereka boleh mengambil peperiksaan di hospital dan jika jumlahnya besar, pelajar itu akan diasingkan di bilik peperiksaan lain di sekolah terlibat.

Jika jumlah pelajar terlalu ramai, sekolah terbabit akan diberikan cuti tetapi pelajar perlu terus mengambil peperiksaan mereka.

“Sehingga kini, tiada arahan untuk mengawal atau menunda peperiksaan tersebut. Semua akan berjalan mengikut jadual,” katanya.

Lima peperiksaan penting itu adalah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM).

Seramai 77,000 guru dijangka terlibat dalam mengendalikan kesemua peperiksaan berkenaan yang mengambil masa selama 28 hari keseluruhannya.

Sumber dari : bernama.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s