Guru BI luar bandar bakal dapat insentif

Guru bahasa Inggeris yang cemerlang akan diberikan insentif oleh kerajaan untuk berkhidmat di luar bandar apabila strategi memperkukuhkan penguasaan bahasa itu mula dilaksanakan pada tahun 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, insentif berkenaan mencakupi elaun, kebajikan dan sebagainya yang mana mekanismenya akan dibincangkan di peringkat Kementerian Pelajaran sebelum diputuskan oleh Kabinet.

”Insentif yang diberikan ini perkara baru dan akan melihat sejauh mana keberkesanannya, kerana kita mahu menghantar guru yang cemerlang untuk memperkasakan bahasa Inggeris di luar bandar.

”Guru yang terlibat ini bukan lagi mengajar Matematik dan Sains, tetapi bahasa Inggeris dan mereka adalah guru yang berlainan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia ke-15 dan persidangan perwakilan kebangsaan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia ke-27 di Klana Resort, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Ruslan Madon.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, persiapan untuk menempatkan guru bahasa Inggeris cemerlang di semua sekolah sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran ketika ini dan ia diuruskan oleh sebuah jawatankuasa yang akan ditubuhkan nanti.

”Dalam aspek ini, perkara utama yang diambil kira ialah tenaga pengajar. Sebab itulah ia perlu dibuat segera dari sekarang.

”Kita mahu mengisi keperluan sebanyak 13,000 guru bahasa Inggeris cemerlang yang akan ditempatkan di seluruh negara dan pastinya ia memerlukan masa untuk dilaksanakan,” katanya.

Untuk itu, katanya, beberapa sumber tenaga pengajar dikenal pasti dan ia termasuk dari institut pendidikan guru, mahasiswa yang mengikuti pengajian bahasa Inggeris di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) serta guru yang telah bersara tetapi masih mampu mengajar dengan baik.

”Kementerian juga akan mengambil 1,000 guru pakar dari luar negara yang akan membimbing guru tempatan memantapkan bahasa Inggeris, selain mereka juga turut mengajar bagi memastikan keberkesanan bahasa berkenaan.

”Semua ini akan dibuat secara berperingkat-peringkat yang mana kawasan luar bandar akan menjadi keutamaan,” ujar beliau.

Ditanya lokasi pusat kecemerlangan guru dalam pembelajaran kaedah pengajaran bahasa Inggeris itu, Muhyiddin menjelaskan, ia akan diadakan di institut pendidikan guru di bawah Kementerian Pelajaran.

”Dari segi kurikulum mengajar, kita akan lihat semula. Kita mahu mereka yang dipilih itu benar-benar layak dan terlatih. Bukan setakat boleh mengajar tetapi cemerlang,” katanya.

Muhyiddin juga memberitahu, peningkatan infrastruktur di makmal bahasa akan dilihat semula termasuk menyediakan perisian terkini dan corak pengajaran yang berkesan, selain penggunaan gajet moden dan alat bantuan mengajar.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s